Monday 12 December 2011


PENGERTIAN SEMBAHYANG : 

Sembahyang pada bahasa ialah beribadat, rahmat dan doa dan pada syarak ialah beberapa perkataan, perbuatan yang tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.
Sembahyang adalah yang paling afdhal di antara rukun Islam selepas beriman kepada Allah SWT kemudian puasa kemudian haji kemudian zakat.
Hukum tentang wajib sembahyang sebagaimana Firman Allah Taala :

فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا
Yang bermaksud : Maka dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan. (Surah An-Nisa’ : 103)
Sembahyang difardhukan pada malam Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW iaitu pada malam 27 rejab, selepas 10 tahun 3 bulan Rasulullah dilantik sebagai Nabi.
Firman Allah Taala :

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا
Sesungguhnya sembahyang difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang tertentu, dan sabda junjungan Nabi Muhammad SAW :

فرض على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم ازل اراجعه واسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة
Yang bermaksud : Telah memfardhukan oleh Allah Taala ke atas umatku pada malam Isra’ mikraj sembahyang 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap Allah dan meminta kurangkan sembahyang sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sehari semalam.




WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG:

1.     Zohor - Awal waktunya gelincir matahari, dan akhirnya apabila jadilah bayang sesuatu itu sama panjang dengannya.
2.     Asar Awal waktunya ialah apabila selesai waktu Zohor dan berkekalan hingga lenyap sekalian matahari di ufuk barat.
3.     Maghrib - Awal waktunya dengan lenyapnya matahari di ufuk barat dan berkekalan sehingga sempurna hilang cahaya kemerahan di ufuk barat.
4.     Isyak - Awal waktunya dengan lenyapnya cahaya kemerahan dan berkekalan sehingga naik fajar.
5.     Subuh - Awal waktunya dengan naik fajar dan berkekalan sehingga naik matahari.


SYARAT-SYARAT WAJIB SEMBAHYANG:

1.     Islam. Tidak wajib sembahyang kepada orang-orang kafir. Bagi orang Islam yang meninggalkan sembahyang, wajib qadha’ dan begitu juga orang yang murtad wajib qadha’ sembahyang yang ditinggalkan di masa murtadnya.
2.     Baligh. (sampai umur pada syarak) sama ada kerana cukup umur 15  tahun qamariah atau bermimpi atau dengan kedatangan haidh. Ada pun kanak-kanak yang belum baligh tetapi berumur 7 tahun yakni kanak yang sudah mumayyiz maka berkewajipan ke atas dua ibu bapa menyuruh anak-anak sembahyang dan apabila genap 10 tahun tetapi tidak mengerjakan sembahyang maka hendaklah dua ibu bapa memukulnya dengan pukulan ringan yang tidak membawa kepada kecederaan.
3.     Berakal. Oleh itu tidak sah sembahyang bagi orang gila dan tidak wajib qadha’ ke atasnya. Begitu juga tidak sah sembahyang bagi orang yang pitam dan mabuk dan dan tidak tidak juga wajib qadha’ ke atasnya. Tetapi sekiranya mabuk itu disengajakan wajib qadha’ sembahyang yang ditinggalkan semasa mabuk itu.
4.     Suci : suci daripada haidh dan nifas.
5.     Sejahtera penglihatan dan pendengaran, yakni orang yang buta dan tuli serentak semenjak kecil yakni belum baligh tidak wajib sembahyang , buta sahaja atau tuli sahaja wajib sembahyang.
6.     Sampai seru, oleh itu tidak wajib sembahyang bagi mereka yang tidak sampai seruan Islam.


SYARAT-SYARAT SAH SEMBAHYANG:

1.     Suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
2.     Menutup aurat. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut dari sudut pandangan sebelah atas dan keliling, begitu juga aurat hamba perempuan. Aurat perempuan dan khunsa seluruh badan kecuali muka dan dua tangan.
3.     Mengetahui kaifiat sembahyang yakni peraturan sembahyang termasuk rukun dan sunat dengan sekira-kira dapat membeza antara farhu dan sunatnya.
4.     Suci daripada najis yang tidak dimaafkan, sama ada di tubuh di pakaian atau di tempat sembahyang dan jangan menanggung sesuatu yang berhubung dengan najis di dalam sembahyang. Najis yang dimaafkan ialah sedikit darah, sedikit nanah, air kudis dan debu jalan raya.
5.     Mengetahui masuk waktu dengan yakin atau dengan dzan masuknya melalui ijtihad.
6.     Mengadap kiblat dengan sekelian badan.
7.     Jangan menambah rukun fi’li dengan sengaja.
8.     Jangan melakukan perkara yang membatalkan puasa di dalam sembahyang seperti makan minum.

Saturday 3 December 2011

Petikan Hadis Mengenai Kelebihan Ibadah  SOLAT 5 waktu. 

Hayati dan Amalkan...
Hadith :
 

Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda :...(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”
 
(Riwayat  Bukhari )

Thursday 10 November 2011

Video Lafaz Niat Solat 5 Waktu


Renungkanlah Wahai Murid-Muridku...

Renungan...

"Hari ini, apa yang sudah ku buat untuk Allah?"

Adakah aku sudah solat Subuh pagi tadi?
Adakah aku telah bersalam dengan ibubapaku sebelum pergi ke sekolah?
Adakah aku mengucap syukur kerana masih hidup untuk hari ini?
Adakah sudah cukup amalan baik hari ini lebih baik dari semalam?
Adakah amal ibadahku sudah cukup untuk dihisabkan dihadapan Allah?
Muhasabahlah diri anda sendiri pada setiap hari...

10 PERKARA YANG WAJIB DILAKUKAN PADA SETIAP HARI

1- Berzikir kepada Allah SWT ketika bangun daripada tidur.
2- Menutup aurat.
3- Menyempurnakan wuduk.
4- Menunaikan solat tepat pada waktunya.
5- Merasa tenang terhadap janji Allah SWT dalam urusan rezeki.
6- Qanaah ( menerima apa yang ada ).
7-  Tawakkal ( berserah segala urusan kepada Allah SWT ).
8-  Sabar menerima taqdir dan hukum Allah SWT.
9- Bersyukur terhadap nikmat Allah SWT.
10- Makan  yang halal.

Tuesday 1 November 2011

PENGERTIAN DAN KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH

Pengertian Solat Berjemaah


Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
  1. Fardhu ain pada solat Jumaat;
  2. Fardhu kifayah pada solat fardhu lima waktu; dan
  3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu

Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,
Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Fadhilat Solat Berjemaah

Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.
Wallahu a’lam.